Kadang-kadang tersentuh juga hati bila melihat Mohd Sabirin, adik bongsu Intan membelek belek permainan mereka sewaktu kecil. Mereka berdua memang rapat sejak kecil bersama sama bermain congkak dan Sahiba. Piano ini pula permainan kesukaannya semasa dia berumur 7 tahun. Saya sebenarnya sudah mati akal, saya tidak tahu nak buat apa lagi, bermacam-macam doa saya amalkan, solar hajat dan berbagai-bagai ikhtiar saya lakukan termasuklah perubatan Islam. Mungkin Allah belum lagi mahu memperkenankan doa saya atau ada hikmah di sebaliknya. Kalau boleh saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang, mengingati kisah lalu tapi bagai mana mungkin? Namanya pun anak walaupun buat buat tidak ingat dan mulut mengatakan tidak mahu mengingatinya tetap juga teringat. Ramadhan datang lagi, ingatan kepada Intan semakin menebal. Dua puluh satu tahun lalu pada malam 1 Ramadhan, Intan dibawa lari oleh mereka. Ketika sedang menunaikan solat sunat tarawih di masjid, saya diberitahu. Intan sudah lari. Seorang anak yang baik, taat, mendengar kata dan manja pergi meninggalkannya mengikut seorang lelaki asing. Bermula daripada hari itulah Intan hilang hingga ke hari ini. Saya tidak pernah lupa pada tarikh itu, tarikh Intan dilarikan daripada saya, ayahnya. Tiada apa lagi yang mampu memberikan kegembiraan dan kebahagiaan buat diri ini selain anak-anak dan cucu. Di situlah tempat saya akan mengakhiri sisa-sisa hidup. Di manakah silap, saya sebagai seorang ayah yang telah memberinya sepenuh didikan agama dan menatang bagai minyak yang penuh. Bagaimana hari ini harus mempercayai apa yang telah berlaku sedangkan dia memang anak yang baik, dia tidak pernah tinggal solat dan rajin membaca al-Quran. Di dalam soal agama dia memang tegas, pantang baginya apabila melihat adik-adik tidak sembahyang dan enggan mengaji. Lengkap pengetahuan agamanya tapi kenapa dia memilih untuk berpaling tadah kepada agama lain? "Kalau Intan boleh mendengar saat ini tentu Intan masih ingat cerita semasa di ITM dulu. Ingat tidak masa itu pensyarah suruh Intan menghafal surah Yasin, al-Kahfi, as-Sajadah, alWaqiah dan surah al-Mulk."
Ingatan pantas berlari mengingati detik itu, saya berusaha membantunya dan saya dapatkan untuknya sebuah kaset mengaji untuk dia menyemak bacaannya ketika di asrama. Rasa bangga juga, dengan dorongan dan usaha itu Intan dapat menghafal semua surah yang diminta oleh pensyarah. Setiap saat saya berdoa agar segala ilmu agama yang telah saya ajarkan dan yang pernah dipelajari di sekolah diamalkan sepenuhnya. Sejuk dada saya setiap kali memandang wajahnya, dengan pekerti dan sopan santun. Kalau dari segi paras rupa, Intan memang tidak kurang cantiknya, manis dan lemah lembut. Tidak hairanlah jika dia menjadi perhatian di kalangan teman teman sekuliahnya. Selepas tamat belajar dia terus ditawarkan bekerja di Citi Bank Kuala Lumpur. Baru setahun bekerja tetapi sudah tiga kali dia naik gaji dan lepas itu dia dapat sijil kepujian daripada Amerika Syarikat (AS). Saya pun hairan dengan perkara, itu, kalau. benar Intan bagus bekerja takkanlah dalam' setahun pertama dia kerja sampai tiga kali naik gaji dan boleh dapat sijil kepujian. Sehinggalah pada suatu hari saya menerima panggilan telefon darinya, "Abah, Intan dah berhenti kerja. Intan nak ikut kawan pergi Negeri Sembilan. Ini alamat baru, Intan." Gagang telefon terus diletak, saya terkedu, "Apa dah jadi dengan Intan ni, lain macam saja," saya luahkan perasaan tidak senang kepada bapa, saudara dan adik-beradik Intan. Keesokan pagi saya berpakat adik beradik pergi ke alamat yang Intan berikan. Sampai di tempat tersebut, saya pujuk Intan balik, tapi dia suruh saya jumpa peguamnya. Apa yang sebenarnya terjadi saya keliru, masakan untuk berjumpa anak sendiri harus melalui peguam. Dia darah daging saya, kenapa hendak membawanya balik ke kampung saya harus berurusan dengan peguam. "Intan, ini abah. Intan tak kenal abah lagi?" keluh saya merenung muka anak yang, kelihatan bingung.
Disebabkan perasaan kasih dan tanggungjawab sebagai ayah, saya dan keluarga pergi ke pejabat peguam di Kuala Lumpur. Sebaik sahaja kami sampai Intan pun tiba bersama teman lelakinya. Intan salam saya dan saya terus peluknya sementara ahli keluarga, yang lain menarik Intan masuk ke dalam kereta, kami bawa dia pulang ke Johor. Di dalam perjalanan Intan hanya tunduk diam, saya tengok dia macam orang keliru, kebingungan dan serba tidak kena. Intan hanya sempat bersama kami selama beberapa hari sahaja. Sehinggalah pada 1 Ramadhan 1989, Intan dilarikan. Selepas itu tidak ada lagi senyum manisnya dan hilang sudah rengekan manja Intan. Entah sampai bila saya mampu bertahan untuk menanti kepulangannya. "Intan... abah tak salahkan Intan dan abah tak marah Intan. abah tabu Intan telah diperdayakan oleh mereka. Intan... abah sayangkan Intan". Al Islam Oktober 2009 ------------------------------------------------------------------------------------------------------- Oleh:Muhd. Ridhwan Abdul Jalil@Erwanzhttp://grenbara.bravejournal.com/entry/50207



